31 March 2011

10 SURAH YANG MUJARAB DARI NABI MUHAMMAD S.A.W

1. SURAH AL-FATIHAH Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya’Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.

2. SURAH YAASIN Telah bersabda Rasulullah s.a.w., “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur’an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur’an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur’an seluruhnya.” (Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda :

“Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan “At-Mu’ammah” (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya.” (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban).
Surah Yaasin ni juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.

3. SURAH AT-DHUHAN Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.

4. SURAH AL-WAQI’AH Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca Surah
Al-Waqi’ah pada setiap malam, insya’Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya’Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat Asar, insya’Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak.

Selepas solat Isyak, ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi’ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga.

Makna Surah Al-Waqi’ah Ayat 35-38 ialah : “Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya.”

5. SURAH AL-KHAUTHAR Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat Isyak hingga dia tertidur, insya’Allah dia dapat melihat Rasulullah s.a.w. dalam tidurnya.

6. SURAH AL-KHAAFIRUUN Sesiapa yang membaca Surah Al-Khaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur’an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi).
Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.

7. SURAH AL-MULK Sebuah lagi Surah dari Al-Qur’an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah s.a.w., mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya’Allah, akan terselamat dari azab kubur..

8. SURAH AL-IKHLAS Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti Aisyah, antara mafhumnya :
“Wahai Aisyah isteriku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur’an.”
Siti Aisyah lalu berkata, “Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur’an sebanyak 30 juzuk itu.”
Apabila mendengar kata-kata Siti Aisyah tersebut, Rasulullah s.a.w. sambil tersenyum lalu menjawab, “Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur’an keseluruhannya.”
Dari Rasulullah s.a.w.. pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a., “Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali.”

Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan : “Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barang siapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat.”

9. SURAH AL-FALAQ Siti Aisyah menerangkan : “Bahawa Rasulullah s.a.w. pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barang siapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali.”

10. SURAH AN-NAS Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur’an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.

28 March 2011

Amalan suami semasa isteri mengandung...


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.


Perkara yang perlu diamalkan oleh suami ketika isteri mengandung:

a. Suami hendaklah banyak bertaubat kepada Allah SWT

b. Banyak membaca Al-Quran dan mengharapkan agar anak yang ada dalam kandungan isteri akan memahami keinginan baik yang terkandung dalam Al-Quran tersebut.


c. Suami hendaklah banyak berpuasa sunat, Isnin dan Khamis dll.
d. Suami hendaklah rajin mengerjakan solah berjemaah.


e. Elakkan pergi ke tempat yang tidak dibenarkan syarak.
f. Rajin menghadiri majlis ilmu dan orang-orang soleh.


g. Suami hendaklah banyak bersabar dalam menjalin hubungan dengan isteri.
h. Dilarang memakan benda-benda haram, begitu juga dilarang memberi isteri rezeki yang tidak halal, rasuah serta wang riba.
i. Banyak membaca doa keselamatan isteri yang sedang mengandung dan keselamatan anak dalam kandungan.
j. Dilarang membuka aurat kerana dikuatiri mempengaruhi akhlak anak yang akan lahir nanti.
k. Suami hendaklah menjauhi diri daripada marah dan benci pada isteri.
l. Banyak membaca surah Al Fatihah, Luqman, Yasin, Yusuf, Surah AnNahl ayat 78, surah Al A'raf ayat 189 dan ayat Kursi.

luasnya NERAKA..

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibrail datang kepada Nabi saw pada waktu yg ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.:
“Mengapa aku melihat kau berubah muka?” Jawabnya: “Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh
supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa
aman dari padanya.”
Lalu nabi s.a.w. bersabda: “Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam.”
Jawabnya: “Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan basinya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah
bumi yg ke tujuh.
Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api.
Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan.”
Nabi s.a.w. bertanya: “Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?” Jawabnya: “Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda.” (nota kefahaman: iaitu yg lebih bawah lebih panas)
Tanya Rasulullah s.a.w.: “Siapakah penduduk masing-masing pintu?” Jawab Jibrail:
“Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat nabi Isa a.s. serta keluarga Fir’aun sedang namanya Al-Hawiyah. 
Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim,
Pintu ketiga tempat orang shobi’in bernama Saqar.
Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha,
Pintu kelima orang yahudi bernama Huthomah.
Pintu ke enam tempat orang nasara bernama Sa’eir.”
Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga
ditanya:
“Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh?”
Jawabnya: “Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat.”
Maka nabi s.a.w. jatuh pingsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sadar nabi saw bersabda: “Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummat ku yang akan masuk ke dalam neraka?” Jawabnya: “Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu.”

24 March 2011

kasih sayang ALLAH..

Bila Allah Cepat Makbulkan Doamu, 
Maka Dia Menyayangimu,

Bila DIA Lambat Makbulkan doamu, 
Maka DIA Ingin Mengujimu, 


Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu, 
Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu.

Oleh itu, Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun... 
Kerana Kasih sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya...





Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan saya tetap ada satu.
Jika anda ada satu ilmu dan saya ada satu ilmu, kemudian kita tukar ilmu tersebut, anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu...
  

CAHAYA MUKA NABI S.A.W.



Telah diriwayatkan daripada Siti Aishah bahawa ia telah berkata : "Sedang  aku menjahit baju pada waktu sahur (sebelum subuh) maka jatuhlah jarum  daripada tanganku, tiba-tiba kebetulan lampu pun padam, lalu masuklah Rasulullah s.a.w. Ketika itu juga aku dapat mengutip jarum itu kerana  cahaya wajahnya, lalu aku berkata, " Hai Rasulullah alangkah bercahayanya wajahmu! 

Seterusnya aku bertanya: " Siapakah yang tidak akan melihatmu pada hari kiamat?" 

Jawab Rasulullah : "Orang yang bakhil." 

Aku bertanya lagi : "Siapakah orang yang bakhil itu?" 

Jawab baginda : "Orang yang ketika disebut namaku di depannya, dia tidak mengucap selawat ke atasku." 

BERDOA 

Berkata Al-Barra' r.a . bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Segala doa itu terdinding (terhalang untuk dikabulkan) daripada langit sehingga orang yang berdoa itu mengucapkan selawat untuk Muhammad dan keluarga Muhammad." 

KIJANG DAN ANAKNYA 

Diriwayatkan oleh Abu Na'im di dalam kitab 'Al-Hilyah' bahawa seorang lelaki lalu di sisi Nabi s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang ditangkapnya, lalu Allah Taala (Yang berkuasa menjadikan semua benda-benda bercakap) telah menjadikan kijang itu bercakap kepada Nabi s.a.w. : "Hai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada mempunyai beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan mereka sedang 
kelaparan, oleh itu haraplah perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat menyusukan anak-anakku itu dan sesudah itu aku akan balik ke mari." 

Bersabda Rasulullah s.a.w. " Bagaimana kalau engkau tak balik ke mari semula?" Jawab kijang itu: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah Taala akan melaknatku sebagaimana Ia melaknatkan orang yang tidak mengucapkan selawat bagi engkau apabila disebut nama engkau disisinya." 

Lalu Nabi s.a.w. pun bersabda kepada orang itu : "Lepaskan kijang itu buat sementara waktu dan aku jadi penjaminnya. " 

Kijang itu pun dilepaskan dan kemudian ia kembali ke situ semula. Maka turunlah malaikat Jibril a.s. dan berkata : "Hai Muhammad, Allah Taala mengucapkan salam kepada engkau dan Ia (Allah) berfirman: " Demi KemuliaanKu dan KehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih kasihkan umat Muhammad daripada kijang itu kasihkan anak-anaknya dan Aku akan kembalikan mereka kepada engkau sebagaimana kijang itu kembali kepada engkau." 
Alhamdulillah. marilah memperbanyakkan bersukur dan berselawat kerana kita tergolong dalam umat Muhammad. 

Panjangkan kisah ini kepada sahabat-sahabat dan sudara-mara. Semoga kita sama-sama berusaha dalam menghidupkan rasa kasih sayang terhadap Rasulullah SAW. 

-- 
Hai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (surah Al-Baqarah ayat : 
208) 

23 March 2011

Hajarul-aswad


1. Orang pertama yang meletakkan kedudukan Hajarulaswad di tempatnya ialah Nabi Ibrahim a.s. Ia merupakan salah satu daripada permata delima dari Syurga.

2. Apabila Bani Bakar bin Abdu Manat bin Kinanah dan Ghaisyan bin Khuza'ah yang mana kedua-duanya dari Bani Jurhum keluar dari Mekah, Amru bin Al-Haris bin Madad Al-Jurhumi mengeluarkan dua ekor patung kijang yang diperbuat daripada emas dan juga Hajarulaswad lalu menimbusnya di telaga Zamzam. Selepas itu beliau dan sebahagian dari golongan Jurhum yang bersamanya pergi ke Yaman. 

3. Penimbusan Hajarulaswad di telaga Zamzam berlaku tidak begitu lama. Seorang wanita dari Bani Khuza'ah telah menunjukkan tempat Hajarulaswad ditimbus kerana beliau melihat Bani Jurhum menimbusnya. Mereka telah mengembalikan Hajarulaswad ke tempatnya. Peristiwa itu berlaku sebelum Qusai bin Kilab mendirikan Kaabah.

4. Setelah orang-orang Qaramitah berjaya menguasai Mekah (di bawah pimpinan Abu Tahir Al-Qarmuti), mereka telah membunuh seramai 1,700 jiwa manusia di Masjidil Haram. Mereka di bunuh ketika bergantungan di Kaabah untuk menghalang orang-orang Qaramitah dari mengambil Hajarulaswad. Mayat mereka dicampakkan ke dalam telaga Zamzam sehingga penuh. Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya dipenuhi dengan mayat-mayat yang bergelimpangan. Orang-orang Qaramitah merampas harta benda orang ramai, hiasan-hiasan Kaabah, mencabut kelambu Kaabah dan membahagikannya di kalangan mereka. Mereka juga memusnahkan rumah-rumah di sekitar Mekah, mencabut pintu Kaabah dan saluran hujan yang diperbuat dari emas. Abu Tahir Al-Qarmuti telah memerintahkan Jaafar bin Ilaj mencabut Hajarulaswad. Hajarulaswad dicabut dari tempatnya pada 7 Zulhijah, tahun 317 selepas berlaku perbuatan dosa-dosa besar yang amat dikeji iaitu membunuh orang-orang yang sedang tawaf, beriktikaf dan yang mendirikan sembahyang. 

Setelah itu mereka membawa Hajarulaswad ke Hajar (Negeri mereka) dan tempatnya di Kaabah hanya tinggal kosong. Orang ramai masih meletakkan tangan mereka di tempat tersebut untuk mendapatkan keberkatan sehinggalah ia dikembalikan ke tempat asalnya pada hari selasa iaitu Hari Raya Korban, tahun 339. Dengan pengembalian tersebut, bermakna Hajarul Aswad hilang dari mereka lebih kurang dua puluh dua tahun. Orang yang mengembalikannya ialah Sinbar bin Hasan Al-Qarmuti.

5. Pada tahun 363, seorang lelaki dari negeri Rom datang ke Mekah lalu menghina dan memukul Hajarulaswad dengan sebilah cangkul di bahagian penjuru (Hajarulaswad) dengan pukulan yang kuat sehingga pecah. Beliau mengangkat tangannya sekali lagi untuk memukul tetapi telah ditikam oleh seorang lelaki Yaman dan berjaya mengalahkannya. 

6. Pada tahun 413 Kerajaan Fatimiah menghantar sebahagian daripada pengikutnya dari Mesir yang telah dihasut oleh Hakim Al-Ubaidi. Di antara mereka terdapat seorang lelaki yang memiliki kulit berwarna merah, berambut perang, mempunyai badan yang perkasa dan tinggi lampai. Sebelah tangannya memegang sebilah pedang yang terhunus dan membawa "Dabus" (Sejenis alat seperti besi penuas). Beliau memukul permukaan Hajarulaswad tiga kali menyebabkan serpihannya berguguran jatuh. Beliau berkata: "Sampai bilakah Hajarulaswad ini akan disembah.

Tiada siapa dapat menghalang aku dari melakukannya walaupun Muhammad dan Ali. Hari ini aku ingin meruntuhkan Kaabah." Tetapi sepasukan tentera berkuda telah mengepung beliau dan berjaya membunuh serta membakar beliau berserta pembantu-pembantunya.
7. Pada tahun 990 pula, seorang lelaki asing telah datang dengan membawa sebatang besi lalu memukul Hajarulaswad. Lantas Al-Amir Nasir menetak beliau dengan sebilah pedang lalu mati.

8. Pada akhir bulan Muharam tahun 1351, seorang lelaki dari negara Afghanistan datang ke Kaabah lalu mencabut dan mencuri sedikit Hajarul Aswad, secebis kelambu Kaabah serta seketul perak dari tangga Kaabah. Perbuatan lelaki tersebut diketahui oleh penjaga-penjaga Kaabah. Mereka berjaya menangkapnya dan kemudian dihukum gantung sebagai balasan terhadap perbuatannya.
Pada 28 Rabiulakhir tahun 1351 Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman Al-Faisal, keluarga As-Saud dari Taif datang ke Masjidil Haram bertujuan untuk melekatkan kembali serpihan yang dicabut oleh tentera durjana. Usaha melekatkan serpihan itu dilakukan selepas dijalankan ujikaji adunan bahan kimia yang dicampur dengan kasturi dan ambar oleh mereka yang didatangkan khas untuk melekatkan serpihan Hajarulaswad

Amalan ayat kursi

Ayat ini diturunkan setelah Hijrah.Semasa penurunannya, ianya diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kebesaran dan kemuliannya. Syaitan dan Iblis juga gempar kerana adanya satu perintang dlm perjuangan mereka. Rasulullah s.a.w. dengan segera memerintahkan Zaid Tsabit menulis dan menyebarkannya.
1) Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu,setiap pagi dan petang,setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir,Insyaallah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan,kejahatan manusia,binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga,anak-anak,harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s.w.t.
2) Mengikut keterangan dari kitab “Asraarul Mufidah”, sesiapa yang mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dgn berbagai hikmah,dimurahkan rezekinya,dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah.
3)  Syeikh Abu Abbas ada menerangkan,sesiapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya,Insyaallah Allah akan memncerdaskan akal fikirannya serta memudahkannya menerima ilmu pengetahuan.
4)  Rasullullah s.a.w bersabda bermaksud:”Sesiapa pulang kerumahnya serta membaca ayat Kursi,Allah hilangkan segala kefakiran didepan matanya”.
5)  Sabda Baginda lagi:”Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat,kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat,Allah memeliharanya drp kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar”.
6)  Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai Allah dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad.
7)  Mereka yang beramal dengan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan dan hasutan syaitan.
8)  Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah,akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.
9)  Mengamalkan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanan.
10) Ayat Kursi yang dibaca dengan khusyuk,Insyaallah,akan menyebabkan syaitan dan jin terbakar.
11) Jika anda berpindah kerumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu,eloklah anda membaca ayat Kuris 100 kali,insyaallah,mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar dari gangguan lahir dan batin.
12) Barang siapa yang membaca ayat Kursi apabila berbaring ditempat tidurnya,Allah akan mewakilkan 2 malaikat memeliharanya hingga subuh.
13) Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir setiap sembahyang fardhu,ia akan berada dlm lindungan Allah hingga sembahyang yang lain.
14) Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir setiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut,dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur,Allah akan memelihara akan dia keatas rumahnya,rumah jirannya dan ahli rumah-rumah disekitarnya.
15)Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu,Allah akan menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar,pahala nabi2 juga Allah akan melimpahkan padanya rahmat.
16) Barang siapa yang membaca ayat Kursi sebelum keluar rumahnya,maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya,mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
17) Barang siapa yang membaca ayat Kursi diakhir sembahyang , Allah azza wajalla akan mengemdalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid.
18) Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika kesempitam,nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.
*Jangan sekadar dibuat hiasan Ayatul Kursi tetapi diamalkan sebaik-baiknya.Insyaallah!
Share5445

Tips murah rezeki

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.